Tanda kelima yang perlu diperhatikan ialah “Perasaan TAKUT GAGAL lebih besar daripada KEINGINAN untuk BERJAYA.” Jika anda mahu lakukan sesuatu yang baru, yang mana lebih mendorong kelakuan anda, potensi untuk gagal dan kecewa atau potensi untuk berseronok apabila sudah berjaya?
Saya berikan contoh. Jika anda seorang pelajar, hari ini anda terlintas di hati untuk jadi seorang pelajar terbaik dan skor A dalam semua subjek yang anda ambil. Yang mana lebih mempengaruhi anda, potensi untuk berjaya dan merasa bangga atau potensi untuk gagal dan kecewa akibat tidak berjaya mencapai matlamat tersebut?
Jika anda sedang bekerja dan bercita-cita mahu memulakan perniagaan, yang mana lebih mempengaruhi anda, kemungkinan untuk berjaya, kaya, hidup senang dan bebas atau kemungkinan gagal, muflis dan malu dan diketawakan sahabat handai dan saudara mara?
Ada satu pendapat besar dalam kajian psikologi yang mengatakan bahawa motivasi manusia terbina sama ada daripada keinginan untuk mencapai sesuatu yang menyeronokkan dan menggembirakan(moving towards pleasure) atau keinginan untuk lari daripada sesuatu yang menyakitkan (moving away from pain).
Menurut pemerhatian dan pembacaan saya, orang-orang yang berjaya mengeluarkan potensi diri mereka begitu fokus kepada sesuatu yang bakal menggembirakan mereka. Maksudnya, jika mereka mahu capai sesuatu, minda mereka akan sentiasa fokus kepada gambaran di mana mereka gembira dan seronok kerana telah mencapai matlamat tersebut. Walaupun mereka sedang gagal dan belum mencapai matlamat tersebut, mereka tidak berganjak dan tidak berputus asa dengan keputusan untuk mencapai matlamat tadi. Hasilnya, mereka mampu keluarkan semua bakat dan potensi yang terpendam di dalam diri mereka.
Berbeza dengan orang kurang berjaya. Mereka mudah ditakutkan dengan kegagalan. Mereka gagal sekali dua, terus mereka kata mereka tidak berbakat. Terus mereka kata dunia ini tidak adil. Terus mereka seolah-olah menyalahkan takdir kerana mereka lahir kurang berbakat dan berkebolehan seperti orang lain.
Hakikatnya, mereka belum cukup mencuba dan belum cukup menempuh kegagalan. Orang berjaya juga gagal tetapi mereka tidak pandang itu semua sebagai kegagalan. Mereka faham bahawa gagal itu adalah satu proses pembelajaran, sama seperti kita selalu jatuh semasa mula-mula belajar berjalan dulu.
Jadi hari ini apa kata kita kaji tentang diri kita. Apabila hendak melakukan sesuatu yang bakal merubah hidup kita )ke arah kebaikan) adakah kita lebih mudah ditakutkan dengan kegagalan atau kita lebih mudah teruja dengan kemungkinan untuk mencapai kejayaan? Jika kita lebih mudah mudah ditakutkan dengan kegagalan, besar kemungkinan segala bakat yang terpendam di dalam diri kita akan kekal terpendam buat selama-lamanya.