Banyak perkara yang boleh memenuhi fikiran anda. Anda boleh fikirkan tentang apa yang berlaku sekarang, pada masa lepas atau apa yang bakal berlaku suatu hari nanti. Namun, jika fikiran anda disekat oleh halangan minda, anda akan sentiasa terkenangkan kegagalan anda di masa lepas.
Contohnya, jika anda orang dewasa dan sudah kerja beberapa ketika. Kemudian anda terfikir untuk sambung belajar. Disebabkan halangan minda menguasai cara anda berfikir, anda akan sentiasa terkenang saat-saat kegagalan atau kesusahan semasa anda belajar di bangku sekolah dulu. Mungkin anda terkenang yang anda lemah dalam beberapa subjek. Mungkin anda terkenang yang anda mudah lupa. Mungkin juga anda terkenang yang anda susah untuk faham sesuatu. Akibatnya, keputusan peperiksaan anda dulu kurang memuaskan.
Anda perlu ingat, kegagalan di masa lepas bukanlah petanda kepada kebolehan diri anda. Ia cuma menunjukkan ada sesuatu yang anda lakukan di masa lepas tidak betul dan tidak kena caranya. Mungkin dulu anda tidak pernah tahu tentang teknik belajar berkesan. Mungkin dulu anda tidak ada pembimbing. Apa yang bahayanya di sini ialah, disebabkan anda asyik terkenangkan kegagalan lepas, anda jadi takut, bimbang dan mungkin buat keputusan untuk menangguhkan usaha menyambung pelajaran.
Cuba tanya diri anda hari ini. Jika anda mahu lakukan sesuatu yang baru hari ini, adakah anda akan terlebih dahulu mengenang kegagalan di masa lepas atau anda akan kenang dahulu kejayaan di masa lepas?
Satu perkara yang saya belajar daripada buku-buku dan audio oleh Brian Tracy, “Jika kita asyik mengenang kegagalan lepas, ia pasti akan berulang“. Contohnya, katakan anda beri ucapan di khalayak ramai. Selepas habis ucapan, anda pulang dan mungkin rasa kecewa kerana ada beberapa kesilapan yang anda lakukan. Mungkin anda ada terlupa apa yang hendak dikatakan dan tergagap-gagap semasa berucap. Akibatnya, anda asyik terfikir, “kenapalah aku lupa tadi?”, “Aduh, aku ni asyik tergagap je.” atau “malunya orang ketawakan aku tadi.”
Malangnya, jika itu yang anda ulang dan ulang di dalam minda, ia pasti akan terjadi semula. Maksudnya, apabila anda mahu berucap semula nanti, kesilapan yang sama pasti akan berulang. Apa yang perlu anda lakukan ialah anda perlu ‘review success, not failure’. Maksudnya, ingat semula kejayaan yang telah anda lakukan semasa berucap tadi. Wujudkan rasa seronok dalam diri disebabkan kejayaan tersebut. Bayangkan juga bahawa ia akan berulang dalam ucapan akan datang. Kemudian, barulah fikirkan bagaimana anda boleh baiki beberapa kelemahan yang anda dalam ucapan tadi. Dengan cara ini, semangat anda tidak akan jatuh dan halangan minda tidak akan menguasai diri dan minda anda.