Namun, saya percaya anda pernah duduk sendirian sama ada sedang menunggu sesuatu atau ketika anda tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Mungkin juga anda sendirian sementara menunggu mata anda terlelap di atas katil. Ketika itu, apakah perkara-perkara yang sering bermain di fikiran anda? Adakah anda memikirkan tentang perkara SEKARANG seperti masalah atau cabaran yang yang anda hadapi kini. Atau anda fikirkan tentang MASA HADAPAN seperti apa yang mahu anda capai satu hari nanti. Atau mungkin juga anda fikirkan tentang MASA LEPAS seperti mengenang kejayaan atau kegagalan di masa lepas.
Mulai hari ini, cuba SEDAR apa yang sering bermain di fikiran anda. Jika anda sedar bahawa anda sering mengelamun tentang masalah, cabaran, kesukaran dan keperitan hidup, besar kemungkinannya minda anda sedang dipenuhi halangan minda. Akibatnya, anda mungkin jadi terlalu berhati-hati dan tidak ada keinginan untuk mencuba sesuatu yang tidak pernah anda lakukan.
Tidak salah untuk berhati-hati. Namun bahayanya ialah jika satu hari nanti anda dihidangkan dengan satu peluang untuk merubah nasib dan cara hidup anda, anda jadi takut dan tidak berani mencuba. Sebagai contoh, setelah lama bekerja, anda ditawarkan naik pangkat tetapi cabarannya amat besar. Disebabkan terlalu berhati-hati dan selalu memikirkan tentang kegagalan di masa lepas, anda tolak peluang tersebut.
Mungkin juga anda sudah bosan kerja makan gaji. Anda teringin sangat untuk bekerja sendiri dan bebas lakukan apa yang anda ingin lakukan. Namun, anda sentiasa terbayang kegagalan berniaga di masa lepas. Anda asyik teringat cerita-cerita tentang usahawan yang gagal dan tidak cukup duit untuk makan. Lebih buruk lagi, anda asyiik teringat tentang statistik mengatakan bahawa 9 daripada 10 perniagaan baru gagal dalam tahun pertama. Akibatnya, anda kekal makan gaji. Anda pujuk hati anda yang makan gaji itu adalah selamat dan sesuai untuk orang yang kurang berbakat seperti anda. Persoalannya, benarkah anda tidak berbakat? Benarkah anda akan gagal jika anda mencuba sesuatu yang baru?
Saya suka berangan. Ketika bersendirian saya suka imbas kembali kejayaan-kejayaan yang pernah saya kecapi di masa lepas. Dulu saya sangka ini adalah satu tabiat buruk kerana saya seperti tidak mahu lepaskan kenangan-kenangan indah di masa lepas. Saya malu hendak ceritakan kepada sesiapa yang saya suka kenang zaman kegemilangan saya di waktu persekolahan seperti memenangi pertandingan, mewakili sekolah, kolej dan universiti dan kejayaan seperti mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. Setelah banyak buku yang saya baca mengenai keyakinan diri dan kejayaan, saya dapati tabiat itu semua tidaklah teruk seperti yang saya sangkakan.
Malah ada banyak buku yang saya baca tentang keyakinan diri mengatakan bahawa setiap kali kita berangan-angan dan mengimbas kejayaan lepas, semakin tinggi tahap keyakinan diri kita meningkat.
Jadi, apa kata hari ini anda luangkan sedikit masa untuk berangan-angan. Imbas kembali kejayaan dan kenangan manis yang pernah anda alami. Jika anda sudah berumahtangga, imbas kembali saat-saat anda bercinta dan kenangan indah sewaktu baru berumahtangga. Sebelum tidur, kenang kembali semua kejayaan dan kenangan yang menyeronokkan satu masa dulu. Jika anda sudah bosan bekerja, cuba imbas kembali keseronokan yang anda rasa semasa mula-mula bekerja dulu. Saya percaya, banyak keajaiban yang akan menyusul jika ini dijadikan satu tabiat yang berpanjangan.
Selamat berangan-angan.