Tanda ketiga halangan minda sedang menyekat bakat terpendam di dalam diri ialah apabila kita ‘mudah terima’ pendapat orang lain tentang kebolehan diri sendiri.
Sebagai contohnya, katakan anda mahu memasuki catur. Kemudian anda ceritakan kepada beberapa orang kawan. Salah seorang kawan anda itu berkata, “Kau boleh ke main catur? Aku tengok cara kau main tak berapa cekap sangat, banyak lagi kelemahan. Kena ada bakat kalau nak menang main catur ni.”
Akibatnya, anda mula terima pandangan tersebut. Anda terima idea yang mengatakan bahawa anda tidak ada bakat. Padahal anda berbakat. Akhirnya, anda mungkin menarik diri daripada menyertai pertandingan tersebut.
Saya ingin berkongsi dengan anda tentang satu perkara. Kebanyakan orang di sekeliling kita tidak tahu apa bakat dan kebolehan yang ada di dalam diri kita. Mereka selalunya akan memberi komen dan pendapat berdasarkan bakat dan kebolehan mereka. Jika mereka tidak pandai berucap, mereka juga sangka kita tidak pandai berucap. Jika mereka tidak ada cita-cita, mereka akan rasa pelik yang amat sangat apabila tiba-tiba kita ceritakan tentang cita-cita kita.
Jadi kalau kita terlalu mudah menerima pendapat orang tanpa berfikir sendiri dan mencuba, kita akan kekal dalam keadaan sekarang selama-lamanya. Seingat-ingat saya, seumur hidup ini, sudah terlalu banyak saya dengar kata-kata yang mengatakan saya tidak boleh buat itu dan ini. Sebagai contoh, ketika di tingkatan satu, saya masuk Persatuan Silat Seni Gayung Malaysia. Badan saya agak besar berbanding kawan-kawan lain. Jadi ada seorang jurulatih yang berkata kepada saya, “kau ni kalau main silat, mesti nampak macam robot nanti” sambil ketawa. Memang perangai saya, kalau orang ketawa, saya ikut sahaja ketawa.
Kemudian, Silat Seni Gayung ini banyak aktiviti lompat melompat. Melompat melintasi halangan dan juga lompatan-lompatan seperti orang bersukan ‘gymnastic’ ke depan dan ke belakang. Sekali lagi saya dengar bermacam-macam komen tentang diri saya. Ada yang kata kalau saya jatuh bumi akan bergegar. Ada yang tersenyum melihat saya melompat. Tetapi mungkin disebabkan minat dan sifat degil dalam diri, saya tak berapa kisah apa mereka kata. Saya terus juga belajar dan berlatih apa yang ditunjukkan oleh jurulatih.
Hasilnya, pada akhir tahun, semasa ujian kenaikan tali pinggang, saya berjaya mendapat markah tertinggi. Malah, saya seorang sahaja di antara sahabat-sahabat saya itu yang berjaya menguasai teknik lompatan ke belakang (back-handspring & back-summersault). Namun ia tidaklah sehebat ahli gymnastic professional. Sejak itu, saya tidak dengar lagi apa-apa komen tentang kebolehan dan potensi diri saya dalam persatuan tersebut.
Apa yang saya benar-benar faham di sini, hanya kita yang tahu bakat, potensi dan kebolehan yang terpendam di dalam diri kita sendiri. Jadi adalah satu idea yang baik kalau kita jangan mudah terima kalau orang kata kita lemah, tidak ada bakat, tidak ada masa depan dan sebagainya.