Dalam situasi orang dewasa, kita juga ada bantal busuk kita yang tersendiri. Bantal busuk yang dimaksudkan ialah cara pemikiran dan cara kita melakukan sesuatu. Cara pemikiran dan melakukan sesuatu ini pula ialah cara yang LAMA. Tentu anda pernah lihat seseorang yang langsung tidak mahu berubah. Jika pelajar, mereka masih tidak mahu ubah cara mereka membuat nota. Jadi mereka asyik menggunakan cara menulis nota semasa berada di sekolah rendah atau menengah. Kalau cara itu berkesan tidak mengapa, tetapi jika tidak, mereka masih terlalu sayang untuk meninggalkannya. Jika ini berkesan, pelajar ini tidak akan dapat mencari bakat sebenarnya dalam belajar dan mungkin hadapi kesukaran untuk menjadi pelajar cemerlang.
Untuk orang dewasa pula, ramai yang terlalu sayangkan cara lama melakukan sesuatu. Sebagai contoh, jika mereka sudah biasa berucap dengan panjang dan dengan nada yang membosankan, mereka sayangkan cara itu dan langsung tidak mahu berubah. Mereka tidak mahu berubah walaupun dia sedar bahawa lebih separuh pendengar tidur dan tidak mempedulikan ucapannya. Jika ini berterusan, orang dewasa ini tidak akan dapat mengeluarkan bakat sebenarnya dalam menarik perhatian orang ramai untuk mendengar ucapannya.
Ada juga orang dewasa yang terlalu suka bekerja sendirian. Sebabnya selama ini dia berjaya semasa bekerja sendirian. Namun apabila dia cuba untuk berjaya dengan lebih besar lagi, masih digunakan cara lama iaitu bekerja sendirian. Dia terlalu sayangkan cara bekerja sendirian hingga dia tidak mampu melihat kelebihan jika bekerja secara berkumpulan. Akibatnya, bakat terpendamnya untuk mencapai kejayaan yang jauh lebih besar akan terus terpendam selama-lamanya.
Hari ini, apa kata kita berfikir bersama-sama sejenak. Apakah kita juga terlalu sayangkan bantal busuk kita? Apakah kita masih memeluk bantal itu sedangkan kita sedar ia tidak cantik dipandang dan tidak sedap baunya di sisi orang-orang disekeliling? Jika ada masa, apa kata kita senaraikan beberapa perkara yang kita lakukan yang masih menggunakan cara lama. Harapannya, jika kita sudah mula sedar bahawa cara lama ini adalah hanya bantal busuk kita, kita mungkin akan timbul keinginan untuk memiliki bantal yang baru, cantik dan wangi pula. Selamat memeluk bantal baru!