BAGI meraikan Ramadan, ada baiknya saya mengulas ringkas berkenaan bulan mulia ini. Ia boleh dianggap bulan ‘bonus’ daripada Allah SWT sebagai rahmat untuk hamba-Nya. Gandaan pahala di bulan dan ketika puasa sangat hebat. Ia berdasarkan hadis Qudsi yang menyebut:
“Setiap amalan anak Adam digandakan pahalanya kepada 10 hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT: Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untuk-Ku dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya kerana-Ku.“ (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Bonus dan belanjawan
Cuba kita renungkan, kerap kali kita gembira apabila tiba hujung tahun bagi mendapat bonus daripada majikan.
(Tahun nie bagaimana yer)...Puncanya, kerana kita dapat duit. Mengapa kita seronok dapat duit? Jawabnya, kerana boleh membeli itu dan ini, bergaya dan lain-lain.
Lalu berapa lamakah keseronokan barang dan perkara yang dibeli tadi? Jawabnya, ia bergantung kepada apa yang dibeli. Ada yang rosak cepat dan ada yang lambat. Jika barang itu lambat rosak, berapa lamakah keseronokan itu berterusan? Jawabnya, paling lama sekadar kita masih hidup saja.
Baiklah, selepas kematian, adakah masih ada seronok? Jika tidak, apakah yang boleh menyeronokkan kita selepas mati? Jawabnya tidak lain tidak bukan adalah pahala dan amalan yang dikumpul.
Jika banyak dan berkualiti, semua mata wang pahala itu akan memberi 1,001 macam keseronokan berpanjangan sehingga satu tarikh yang hanya diketahui Allah SWT dan ia pasti sangat panjang.
Jika demikian, mengapa tidak tercetus perasaan seronok menerima kehadiran Ramadan sebagaimana seronoknya kita menerima bonus duit? Sedangkan Ramadan bulan bonus untuk meraih pahala sebanyak-banyaknya, bulan dipermudahkan peluang untuk ke syurga Allah.
Bezanya, ramai lebih seronok dengan belanjawan 2009 baru-baru ini kerana mungkin akan dapat jimat lebih banyak duit.
Seronok hakiki dan sementara
Keseronokan jiwa yang hadir kerana dipermudahkan cara untuk memiliki rumah dalam belanjawan baru-baru ini lebih dapat dilihat dan dihayati ramai berbanding keseronokan memasuki bulan yang dipermudahkan jalan pemilikan rumah syurga di akhirat yang kekal abadi.
Mengapa ini berlaku kepada hati kita? Apakah silapnya? Pernahkah kita memikirkan mengapa gembira berpeluang dapat harta akhirat sebagaimana kita gembira mendapat harta dunia?
“Ya Allah, bantulah kami yang menzalimi diri kami, tiada tuhan melainkan-Mu dan Engkaulah yang Maha Pengampun.”
Tawaran bonus luar biasa
Justeru, niat yang ikhlas dan benar ketika melaksanakan kewajiban Ramadan adalah kunci kepada ‘bonus’ yang ditawarkan oleh Allah SWT. Contohnya, sesiapa yang berpuasa Ramadan bukan kerana Allah tetapi disebabkan rasa malu kepada rakan.
Ada juga kerana terpaksa menuruti suasana atau hanya ingin menunjuk-nunjuk dan lain-lain sebab keduniaan.
Orang seperti ini tidak layak mendapat ‘bonus’ dan tawaran istimewa ‘pahala luar biasa’ yang ditawarkan oleh Allah.
Selain itu, pahala bonus ini juga boleh tergugat dengan amalan keji bercakap buruk seperti maki, mencarut, mengeji orang, mengumpat, memfitnah dan apa-apa yang berkaitan dengan dosa lidah dan anggota juga akan menipiskan lagi ganjaran pahala seseorang walaupun ia berniat benar ketika berpuasa.
Ini ditegaskan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadis ertinya:
“Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya.” (Riwayat Al-Bukhari, 4/1903 - Fath al-Bari)
Beberapa ulama seperti Abu Gharib Al-Asfahani, Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Prof Dr Muhd Uqlah Ibrahim (Ulama Fiqh di Jordan) serta lain-lainnya berpandangan bahawa di samping pahala yang berganda, dosa juga boleh berganda di bulan mulia ini.
Beliau ada mengutarakan beberapa dalil, bagaimanapun sukar untuk saya muatkan di ruangan terhad ini. Sebagai jalan terbaik, jauhilah dosa sejauh-jauhnya di bulan ini kerana masih ada kemungkinan dosa digandakan.
Syaitan kena gari?
Umat Islam perlu lebih fokus untuk mencapai kebaikan di bulan ini. Nabi SAW menyebut juga bahawa pintu syurga dibuka, ditutup pintu neraka serta dibelenggu syaitan-syaitan (Riwayat Al-Bukhari, 1/18; Muslim, 1/41); malah ada ulama mengatakan, bulan ini dinamakan ‘Ramadan’ (yang bermaksud panas) oleh Allah SWT kerana bulan ini bulan menghanguskan dosa. (Mughni, Ibn Quddamah, 4/116
Ada pula yang bertanya berkenaan erti syaitan dibelenggu dalam hadis di atas. Sebahagian ulama berpandangan ia membawa maksud ketidakmampuan syaitan menguasai orang berpuasa sebagaimana penguasaannya di luar Ramadan. (Al-Muntaqa Min At-Targhib Wa at-Tarhib, Al-Munziri dan Al-Qaradawi, 1/313)
Ada juga yang menyebut sebahagian jenis syaitan yang utama saja dibelenggu, manakala yang lain masih bebas, lalu kerana itu masih ada yang membuat maksiat di bulan ini.
Bagaimanapun, sebenarnya ia akibat dorongan nafsu jahat yang lama terdidik dan terbiasa dengan ajakan syaitan. Kebiasaan buruk ini mampu mendorong seseorang ke arah kejahatan walau ketika syaitan utama dibelenggu. (Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Syeikh Atiyyah Saqar, 2/13)
p/s:Biznes nie... anda buat hai o dapat bonus,...tak buat tak dapat bonus..Sama laatu dan lu pikir lah sendiri..